.: MASJID .:

 MASJID KRISTAL@TAMAN TAMADUN ISLAM

Taman Tamadun Islam (TTI) adalah sebuah taman tema yang mengetengahkan keunggulan seni warisan dan seni bina Islam dari seluruh pelosok dunia yang terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu yang sebelum ini dianggap tidak berpenghuni dan dipenuhi hutan nipah. Taman tema ini merupakan salah satu projek pembangunan ekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
Taman tema yang mula dibina pada Mac 2005 bukan sahaja dikelilingi replika-replika masjid dari serata dunia malah sebuah masjid yang juga mercu tanda baru Kuala Terengganu iaitu Masjid Kristal turut berdiri megah di situ.

Selain pembinaan 21 replika sedia ada, kerajaan negeri bercadang membina kincir angin di mana saiznya lebih besar dan menyamai kincir angin digunakan oleh masyarakat Islam pada zaman lampau.

Masjid Kristal Ketika Dalam Pembinaan

Masjid Kristal Setelah Siap Dibina.



MASJID TENGKU TENGAH ZAHARAH@MASJID TERAPUNG



Masjid Tengku Tengah Zaharah atau Masjid Terapung telah dinamakan sempenan nama bonda Al-Marhum Sultan Terengganu Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah iaitu Tuanku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja. Masjid ini terletak 4 km dari pusat bandar Kuala Terengganu. Masjid ini mempunyai keindahan dan keunikan tersendiri berbanding dengan masjid lain yang telah dibina. Masjid ini dibina di atas air di muara Sungai Ibai yang sekaligus menjadikan masjid terapung yang terulung di Malaysia.

Masjid yang mula dibina pada September 1991 dan siap pertengahan Januari 1994 bernilai RM6.997 juta yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya direkabentuk oleh Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, dari Seni Bahri dengan menampilkan ciri-ciri tamadun Islam dan gabungan senibina tempatan.



Keluasan 1,372 meter persegi dan menara setinggi 30 meter, sebuah kubah besar dan lima wakaf serta di kelilingi air sedalam 1.5 meter ini mampu menampung jemaah sehingga 1,000 orang yang menempatkan dewan solat lelaki di bahagian bawah manakala wanita di bahagian atas.

Masjid yang telah dirasmikan oleh Al-Marhum Sultan Mahmud ini menyediakan kemudahan lain seperti bilik diraja, perpustakaan kecil, bilik dan pejabat imam, stor, tempat wuduk dan kawasan letak kereta yang boleh menampung lebih 400 kenderaan.

Dengan gabungan hiasan taman, warna langit yang membiru, kilauan cahaya matahari dari permukaan air yang mengelilingi masjid itu serta tiupan angin dari Laut China Selatan, pastinya ia menjadi masjid yang paling nyaman dan mendamaikan memberi erti betapa keagungan syiar Islam terangkum dalam suatu bentuk tamadun yang terus berkembang.