Tuesday, June 8, 2010

Gasing : Permainan Warisan Budaya kita



Matlamat utama bermain gasing adalah untuk berhibur dan mengisi masa lapang. Selain itu, permainan ini dikatakan dapat menilai dan mengukur kemahiran seseorang untuk menghadapi pelbagai situasi. Gasing biasanya dimainkan di gelanggang yang dibuat di halaman rumah atau di bawah rimbunan pokok yang rendang.

ASAL-USUL PERMAINAN

Banyak spekulasi yang timbul berkaitan dengan asal-usul permainan ini. Ada yang menyatakan permainan ini wujud hasil penemuan buah berembang yang terdapat di pantai. Strukturnya yang bulat dan leper serta licin memudahkannya berputar ligat. Kemudian rekaan ini diadaptasi menggunakan kayu daripada kayu pokok yang lembut agar mudah dibentuk.
Selain buah berembang, ada juga yang mengatakan permainan ini berasal daripada permainan ‘laga telur'. Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak dengan cara memusingkan telur dan melagakannya antara satu sama lain. Rentetan daripada itu, timbullah idea untuk mengembangkannya kepada bentuk kayu. Pada bahagian tengah dipacakkan paksi agar gasing dapat berputar dengan lebih ligat dan dalam jangka masa yang lama.

LANGKAH PEMBUATAN GASING

Kayu pokok penaga, keranji, leban tanduk dan sepan dilarik menggunakan alat pelarik mengikut bentuk, saiz dan kreativiti yang dikehendaki.
Besi paksi dibenamkan di bahagian tengah gasing supaya gasing dapat berpusing dalam keadaan seimbang ketika diputarkan.
Kepingan timah akan diletakkan di bahagian atas gasing untuk menggelakkan gasing daripada pecah ketika dipangkah.

GASING DI TERENGGANU

Gasing yang biasa di mainkan di Terengganu ialah gasing jenis Gasing Kuno. Gasing ini biasanya digunakan untuk memangkah dan diperbuat daripada kayu merbau, ru, meranti dan keranji.

No comments:

Post a Comment