Wednesday, May 5, 2010

Air Terjun Sekayu / Sekayu Waterfall

KEDAMAIAN DAN KETENANGAN




Air terjun Sekayu terletak kira-kira 22 kilometer dari pekan Ajil dan 16 kilometer dari pekan Kuala Berang. Kuala Berang merupakan pusat pentadbiran daerah Hulu Terengganu yang pesat membangun dewasa ini. Perjalanan dengan kereta dari pekan itu ke Air Terjun Sekayu mengambil masa kira-kira setengah jam. Pengunjung akan menempuh perkampungan Melayu tradisional seperti Kg Padang Setar, Kg Sekayu dan Kg Bukit Gemuroh.

Papan-papan tanda yang terpacak di tepi jalan memudahkan pemandu dari luar yang tidak biasa dengan kawasan di sebelah sini untuk berkunjung ke Air Terjun Sekayu tanpa rasa gusar. Kawasan hutan Sekayu yang dikenali ramai dengan jeram dan air terjun bertingkatnya terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Taman Pertanian Negeri Sekayu dan Hutan Lipur Sekayu.
Pengunjung boleh melawat Taman Pertanian Negeri Sekayu terlebih dahulu sebaik sahaja melepasi pintu gerbang. Taman Pertanian ini dilandskap indah dan turut ditanami pepohon buahan seperti ciku, jambu batu dan durian. Tumbuhan berbunga turut ditanam sebagai penyeri kawasan yang tidak jemu-jemu menerima pengunjung jauh dan dekat terutamanya pada hari-hari cuti.

Tarikan terbaru di Taman Pertanian Negeri Sekayu yang mampu menggamit lebih ramai pengunjung adalah kolam renangnya. Air yang mengalir dari kawasan hutan berbukit berhampiran disalurkan ke dalam kolam itu. Terdapat dua buah kolam yang masing-masing dengan kedalaman dua dan empat kaki dibina untuk kemudahan pengunjung. Pengunjung, tidak kira kanak-kanak maupun dewasa, sudah tentu akan teruja berendam di dalam kolam yang dingin lagi menyegarkan itu. Rama-rama dengan rona-rona cerah seperti kuning, biru dan hijau turut terbang riang menyerlahkan lagi keindahan yang sering menjadi buruan sejak berzaman.

Pengunjung juga boleh menikmati aliran jeram yang mengalir melalui celah-celah batu berhampiran di bawah pepohon tinggi yang menaungi redup kawasan hutan yang menampung pelbagai kehidupan. Satu alam penuh kehijauan yang memberikan ketenangan yang diciptakan Tuhan. Lorong pejalan kaki turut dibina bagi memudahkan pengunjung menjelajah hutan lipur itu. Begitu juga dengan jambatan gantung yang dibina merentangi jeram mengalir deras dengan alirannya yang begitu mengujakan. Tidak ketinggalan taman permainan kanak-kanak dengan pelbagai warna terang yang mampu memberikan keriangan dan menjana imaginasi.

No comments:

Post a Comment